Kesatuan pekerja ‘warning’ penjawat awam, kalau nak berniaga sila ikut peraturan
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan penjawat awam yang mahu menjalankan perniagaan atau pekerjaan tambahan sentiasa mematuhi peraturan sedia ada yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata perkara tersebut perlu dimaklumkan melalui permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan masing-masing dan penjawat awam harus memastikan kerja hakiki tidak terjejas dan terganggu berikutan penglibatan dalam perniagaan atau pekerjaan kedua.
“Keutamaan haruslah diberikan kepada perkhidmatan masing-masing agar tiada perkara berbangkit berlaku. CUEPACS juga berharap ketua jabatan masing-masing sentiasa mengingatkan mengenai perkara ini kepada kakitangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas berkenaan kes seorang penjawat awam didenda akibat menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ketika berkhidmat, beliau berkata, CUEPACS menghormati keputusan mahkamah kerana yakin dengan sistem kehakiman yang telah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Adnan berkata, ketika ini situasi seorang pekerja yang terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarga sudah menjadi norma biasa.
“Tidak kira sektor swasta atau awam, perkara ini dilakukan kerana skim gaji yang diterima tidak kompetitif berbanding dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Ia bukan mengenai gaya hidup seseorang kerana keperluan hidup ketika ini pun sukar untuk dipenuhi berikutan pendapatan boleh guna rakyat yang rendah dek kerana skim gaji yang masih lagi rendah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya tangga gaji permulaan di sektor awam dan swasta sebanyak RM1,200 yang rendah sudah pasti pekerja perlu melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
“Jika hanya berharapkan gaji sedia ada, sudah tentu tidak mencukupi.
“Justeru itu adalah wajar kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima oleh para pekerja ketika ini baik di sektor awam dan juga swasta,” katanya, memetik laporan Malaysiapost.