Ketua Menteri Melaka mengaku masalah air di Melaka, air macam Teh Ais
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengarahkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menyelesaikan isu bekalan air paip kotor dan berbau di kawasan Merlimau.
Tegasnya, isu terbabit perlu diselesaikan segera hari ini selepas mengesyaki terdapat kebocoran paip pada tangki air yang membuatkan paras air menurun.
“Kita dapati paras air Kolam Utama Bukit Perah Baru turun dengan cepat sehingga ke paras bawah dan ini menyebabkan keladak itu disedut sekali sekaligus mengakibatkan kebocoran yang berlaku di bawah tanah.
“Apabila kebocoran berlaku itu, perkara ini menyebabkan paras air menurun dengan cepat membuatkan keladak itu disalurkan ke rumah pengguna,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di Dewan Japerun Lendu, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, setakat ini SAMB sedang mengenal pasti punca permasalahan berkenaan dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan oleh pekerja teknikal syarikat itu
“Saya suruh SAMB buat (selesaikan) secepat mungkin dan laporan akan diberikan dari semasa ke semasa.
“Kebocoran ini membuatkan paras air berlaku dengan cepat, kita tak tahu berapa saiz dan panjang paip yang terlibat.
“Saya terima laporan itu pagi tadi dan minta SAMB serahkan laporan ini setiap jam, saya nak tengok agar ia diselesaikan segera, hari ini juga,” tegasnya.
Terdahulu, tinjauan MHI di Facebook mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dengan memuat turun gambar air paip yang berkeladak keladak dan berbau busuk sejak semalam.
Sementara itu, kenyataan dikeluarkan SAMB menyarankan pengguna supaya membiarkan air mengalir selama lima hingga 10 minit dan melihat jika ada sebarang perubahan.
“Sekiranya tidak berubah pengguna disarankan berhubung dengan pusat khidmat pelanggan SAMB agar aduan dapat direkodkan.
“Bahagian kualiti air SAMB akan menjalankan pengujian kualiti air terawat di setiap stesen persampelan di Merlimau secara berkala bagi mengesan punca sebenar masalah air,” katanya.