Menteri agama tak minta haramkan arak, cuma minta tukar nama

Menteri agama tak minta haramkan arak, cuma minta tukar nama

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menggesa syarikat pengeluar arak tempatan jenama Timah menukar kepada nama lain.

Menurutnya, nama yang boleh menimbulkan kekeliruan tidak seharusnya berlaku dan mendatangkan provokasi.

“Setuju (tukar nama), sepatutnya benda bersifat provokasi ini jangan wujud.

“Nama yang boleh menimbulkan kekeliruan, arak tetap haram atas nama apa pun,” katanya dalam sidang media ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak bersetuju dengan pemilihan nama itu yang jelas cuba mewujudkan normalisasi.

“Apa maksud dia letak nama itu? Adakah untuk wujudkan normalisasi baru? Ini yang kita bimbang,” soalnya.

Idris berkata, jelas dalam Islam, umat Islam diharamkan untuk minum minuman keras walaupun dilabel dengan nama apa pun.

“Dalam hadis Nabi Muhammad SAW pun ada sebut akan berlaku dalam kalangan umatku nanti, manusia akan minum arak dengan pelbagai nama antaranya nama tadi (Timah).

“Prinsip kita, kita tidak bersetuju dalam soal arak, bagi bukan Islam itu soal dia (nak minum), bagi org Islam kita tidak boleh.

“Kita tidak boleh letak nama begitu,” katanya.

Ditanya adakah pihaknya akan memanggil pengeluar arak itu, Idris berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita akan bawa bincang dengan KPDNHEP,” katanya, lapor Harian Metro.

Arak Timah menjadi kontroversi berikutan jenamanya dianggap berkaitan nama orang Melayu dan Islam, iaitu ‘Fatimah’ tetapi syarikat pengeluarnya mendakwa ia merujuk kepada bijih timah.

Label pada botol arak itu juga menggunakan paparan lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman berkenaan dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga seorang Kapten Polis di Larut, Perak, pada 1870-an.

Malah, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor turut menggesa kerajaan supaya mengarahkan sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan untuk segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan.