Ngeri! wanita ini maut tercampak keluar dari kereta
Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau, petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibunya yang berusia 54 tahun cedera dan dirawat di Hospital Tenom.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Proton Iswara dan Perodua Myvi.
“Dalam kejadian itu, anak perempuan kepada pemandu Proton Iswara telah tercampak keluar dari kenderaannya dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu pula dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan bersama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi satu minit lapan saat memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan terbalik di tepi jalan dan mangsa terbaring dipercayai sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.