Panas! Pergaduhan dalaman Pas makin parah, Hadi akan dicabar

Panas! Pergaduhan dalaman Pas makin parah, Hadi akan dicabar

 

TULAR satu klip audio dikatakan mirip suara seorang pemimpin PAS yang didakwa mempertikai kepimpinan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di media sosial semalam.

Rakaman audio berdurasi seminit 52 saat itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.

Pengguna media sosial berkenaan turut memaklumkan akan terus membongkar rancangan jahat pemimpin PAS yang digelar ‘Dr T’ itu.

Rakaman audio itu mendedahkan, pemimpin PAS berkenaan mendakwa, Abdul Hadi percaya bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).

“Tok Guru (Abdul Hadi) ini berpegang pada pandangan survey yang menunjukkan PN naik, BN turun. Tetapi, dia kata, kita kena raikan juga, Umno masih ada akar umbi.

“Ayat itu Tok Guru ulang selalu ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” kata individu yang didakwa pemimpin PAS itu, lapor Malaysiapost.

Berdasarkan pendedahan audio berkenaan, individu terbabit juga mendakwa pendirian Presiden PAS itu sentiasa berubah terhadap BN dan PN.

Pendedahan itu juga dipercayai ada kaitan dengan pemilihan pimpinan PAS yang dijadual akan diadakan November ini.

Sebelum ini PAS membentuk kerjasama dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN), namun pakatan itu kini dilihat semakin goyah.

Hubungan kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai masalah apabila Umno menarik sokongan terhadap Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), manakala PAS kekal menyokong Bersatu.

PAS bersama BN, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain, sebelum ini membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).