Panas! Tian Chua tak mengaku mahu bawa semula Azmin dalam PKR
NAIB Presiden PKR, Tian Chua mempertahankan pandangannya agar Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh membantunya memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, beliau menafikan pandangan itu bertujuan untuk membuka ruang kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kembali menyertai PKR dan menegaskan beliau tidak ada sebarang kuasa untuk menentukan perkara itu.
“Ada yang berkata, dengan menggesa PH bekerjasama dengan sesiapa sahaja supaya kita dapat menang di Melaka, saya sebenarnya sedang cuba nasib untuk lihat sama ada Azmin dan yang lain yang telah meninggalkan parti akan diterima semula dalam PKR.
“Cakap-cakap seperti itu tidak berasas dan merepek,” kata bekas Ahli Parlimen Batu itu dipetik FMT, hari ini.
Baru-baru ini, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke mengkritik Tian Chua atas cadangannya supaya PH bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mampu membantu gabungan itu memenangi PRN Melaka.
“PH mesti tolak pengkhianat,” kata Loke di Facebook.
Tian Chua berkata, PKR mungkin sudah hilang sinarnya dan memerlukan sokongan untuk memenangi PRN pada 20 November ini, termasuk daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Sementara itu, Tian Chua juga tidak menolak pendapat bahawa kepulangan semula ahli-ahli PKR yang berpaling tadah ke pangkuan parti itu boleh membuatkan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
“Jika ini berlaku, terserah kepada Anwar untuk menerimanya. Ini bukan keputusan saya.”
“Ia juga terpulang kepada Anwar untuk memutuskan sama ada PKR patut bekerjasama dengan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan pasukannya,” katanya.