Panas! Zahid ‘marah’ UMNO disalahkan jatuh kerajaan Melaka

Panas! Zahid ‘marah’ UMNO disalahkan jatuh kerajaan Melaka

 

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan menyalahkan parti itu sebagai punca kejatuhan kerajaan Melaka sebagai propaganda tidak rasional.

Beliau menegaskan, selain dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, masing-masing seorang wakil rakyat Bersatu dan bebas turut terlibat dalam gerakan itu sehingga memaksa Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Secara harfiah (literally) apa yang terjadi disebabkan masalah dalaman di Melaka dan ia melibatkan wakil rakyat daripada beberapa parti yang diketahui,” katanya di facebook, hari ini, lapor Malaysiapost.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, nasi sudah menjadi bubur dan Umno perlu bersiap sedia mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika itu diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kerana itu saya pernah menyatakan di Dewan Rakyat jika benar kerajaan Melaka sudah tumbang elok kita kembalikan mandat kepada rakyat.

“Tetapi, saya tidak mengulas lebih ketika itu disebabkan masa untuk bercakap adalah terhad, sedangkan banyak lagi hal rakyat perlu diketengahkan kepada dewan.

“Kemudian pada sidang media di bangunan Parlimen saya menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai pendirian saya,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beberapa faktor perlu diambil kira oleh SPR sebelum memutuskan untuk melaksanakan PRN Melaka.

“Maka, sebaiknya ia diputuskan SPR selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan sehingga sebarang pilihan raya mungkin diumumkan oleh SPR, Ketua Menteri Melaka akan berfungsi dalam bentuk ‘care taker government’,” katanya lagi.