PEJUANG cabar debat buktikan Anwar tak layak perintah negara
KETUA Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bersedia berdebat dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa untuk membuktikan Ketua Pembangkang itu tidak layak memerintah negara.
Menurutnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memang tidak relevan lagi dalam landskap politik tanah air seperti dilabelkan oleh Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mencabar Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang dilihat mempertahankan Anwar daripada andaian Dr Mahathir terhadap Anwar dalam bukunya, ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’ untuk menganjurkan sesi debat berkenaan.
“Sekiranya beliau (Abdullah Sani) masih mahu menegak ‘benang yang basah’ saya cabar beliau untuk menganjurkan debat terbuka secara ‘live’ antara saya dengan Anwar Ibrahim.
“Saya bersedia berdebat dengan anwar ibrahim pada bila-bila masa dan di mana saja.
“Cukup-cukuplah mereka hendak menyalahkan Tun Dr Mahathir dalam isu Anwar ini yang sudah tidak relevan lagi dalam landskap politik tanah air,” katanya memetik Malaysiapost.
Khairuddin mengulas mengenai kenyataan, Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kapar yang mengatakan Dr Mahathir membuat andaian berat sebelah dalam buku terbaharunya terhadap Anwar.
Abdullah Sani dilaporkan berkata, Dr Mahathir menulis dengan sifat dendam dan fitnah untuk menutup tindakannya menggagalkan usaha menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Menurut Khairuddin, Abdullah Sani adalah seorang yang emosional dan sentiasa menyalahkan Dr Mahathir dalam isu membabitkan Anwar.