Pelajar disebat dengan tali pinggang, dicucuh puntung rokok oleh senior

Pelajar disebat dengan tali pinggang, dicucuh puntung rokok oleh senior

KES buli bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di negara luar dan pastinya sukar untuk mengawal kes tersebut walaupun hukuman yang dikenakan amat berat.

Terbaru, dua pelajar Sekolah Menengah Adventist Purwodadi, Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia disyaki menjadi mangsa dera oleh senior mereka.

Menurut laporan media, kedua-dua mangsa dicucuh puntung rokok dan disebat dengan tali pinggang.

Kedua-dua pelajar ini mempunyai huruf awalan DLH dan FG, dan ibu bapa mereka tidak menerima sebarang maklumat yang berlaku kepada anak mereka.

Ibu kepada DLH, Toriana Simatupang berkata, anaknya mengalami kecederaan di bahagian belakang yang mana dipercayai akibat dicucuh puntung rokok dan disebat menggunakan tali pinggang.

Malah, menurut ibunya gegendang telinga mangsa juga mengalami masalah akibat penderaan itu sehingga dimasukkan ke hospital.

“Badan anak saya melecur dengan kesan puntung rokok serta ada kesan dipukul dengan tali pinggang hingga gegendang telinganya bermasalah dan terpaksa dibawa ke hospital,” kata Toriana Simatupang, ibu DLH, pada Khamis.

Toriana berkata, anaknya itu dipercayai didera oleh empat pelajar senior di sekolah.

“Anak saya dibawa keluar dari biliknya pada jam 11 malam ke tempat lain untuk didera oleh seniornya,” tambahnya.

Wanita berasal dari Bogor itu berkata, selain didera secara fizikal, anaknya turut dipaksa membasuh dan menggosok pakaian pelaku.

“Sekolah ini ada masalah besar kerana boleh berlaku penganiayaan ini. Saya tidak sangka ini akan terjadi. Jika anak saya nakal, guru yang perlu hukum anak saya.

“Hakikatnya anak saya tidak nakal tapi kenapa pelaku perlu dera sehingga menculik anak saya pada pukul 11 ​​malam,” katanya.

Toriana terkejut kerana tiada seorang pun guru yang mengetahui kejadian itu dan dia mengesyaki kejadian berkenaan sengaja ditutup oleh pihak sekolah.

“Tidak ada guru yang tahu mengenai kes ini. Jadi tolong selesaikan perkara ini, jangan tutup masalah ini. Kes ini perlu disiasat ikut undang-undang.” katanya.

Sementara itu, Tio Lina Aritonang, ibu kepada FG, pula tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya.

Dia menghantar anak-anaknya ke sekolah dengan harapan perkara baik yang berlaku namun kejadian buruk pula yang menimpa anaknya.

“Saya tidak dapat terima anak saya didera sebegitu kejam di Sekolah Purwodadi, Pasuruan.

“Saya hantar anak ke sekolah supaya dia selesa, supaya matlamatnya tercapai. Anak saya cerdik, pelajar yang baik tapi jadi begini. Saya tidak dapat terima.” kata Tio, wanita dari Jakarta itu.