Pelajar universiti dibunuh, disumbat dalam bagasi

Pelajar universiti dibunuh, disumbat dalam bagasi

 

Mayat seorang wanita ditemukan di dalam bagasi yang kemudiannya dibuang di gaung di daerah Mojokerto, Jawa Timur Indonesia.

Mayat disorok dalam bagasi

Mangsa yang merupakan seorang pelajar universiti Indonesia itu dipercayai dibunuh oleh guru muziknya sendiri. Pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran kerana masalah wang.

Difahamkan, mangsa dan guru muzik, Rochmat Bagus Apriatma, 41, mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2017. Mereka yang dilihat mesra dan kemana-mana sahaja berdua itu dipercayai menjalinkan hubungan cinta namun suspek mendakwa hanyalah sebagai kawan.

Ibu bapa mangsa tidak mengesyaki anak perempuannya bercinta dengan suspek memandangkan lelaki itu sudah pun memiliki isteri. Tetapi keakraban mereka berdua membuktikan bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa yang dipercayai terjalin sejak lima tahun lalu.

Sehari sebelum kejadian iaitu pada 3 Mei 2023, mangsa telah meminta kebenaran ibunya untuk menjalani ujian pertengahan semester dan sebelum tiba di univerisiti, mangsa sempat singgah ke kafe milik suspek. Mereka sempat sarapan bersama sebelum suspek menawarkan untuk menghantar dan menjemputnya di kampus menggunakan kereta milik mangsa.

Bunuh sebab tak dapat pinjam duit

Semasa dalam perjalanan, suspek memberitahu mahu meminjam wang daripada mangsa untuk membayar hutang. Namun mangsa menolak kerana tidak memiliki wang sebanyak itu.

Tidak terhenti di situ, suspek sekali lagi meluahkan niatnya untuk menggadai kereta milik mangsa namun ianya sekali lagi ditolak oleh mangsa. Selepas itu, mereka berdua sempat bermalam di sebuah apartment. Lebih mengejutkan, apabila suspek dengan selambanya membawa mangsa ke kedai untuk menggadai kereta.

Mangsa yang emosi kemudian mengeluarkan kata-kata kesat sehingga membuatkan suspek berang. Kemudian berlakunya pertengkaran antara mangsa dan suspek sehingga lelaki itu nekad bertindak agresif dengan mencekik mangsa sehingga wanita itu tidak bernyawa.

Mayat mangsa dibungkus dengan plastik dan diletakkan di dalam bagasi yang diambil suspek di rumah ibu bapa mentuanya. Bagasi berisi mayat itu kemudian dibuang oleh suspek ke dalam gaung. Suspek akhirnya berjaya ditahan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.