Pemimpin kerajaan suruh kurangkan makan telur kalau telur mahal

Pemimpin kerajaan suruh kurangkan makan telur kalau telur mahal

Tidak dapat dinafikan, semua pihak ketika ini sedang terkesan dengan kenaikan harga barang. Baik dari golongan pengguna di kalangan B40 dan M40, kenaikan ini turut dirasai peniaga, pembekal malah pengusaha sesuatu barangan itu sendiri.

Meskipun situasi ini sukar dielakkan ekoran dari inflasi yang sedang berlaku di negara dan hampir seluruh dunia, ramai mengharapkan agar pihak berwajib dapat tampil dengan penyelesaian bagi mengurangkan beban rakyat.

Keadaan ini jika tidak dikawal pastinya akan meningkatkan kos sara hidup rakyat yang semakin hari semakin terbeban.

Namun sejak semalam, tular di media sosial satu klip video dari saluran YouTube Melaka TV di mana Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar mengulas mengenai harga telur ayam di negeri tersebut.

Beliau di dalam video itu mencadangkan orang ramai khususnya rakyat Melaka agar mengurangkan pengambilan telur sekiranya berlaku kenaikan harga makanan berkenaan.

“Kita sebagai pengguna kalau dah tau kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.

“Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah.

“Itu adalah cara gaya hidup kita,” kata Pengarah KPDNHEP Melaka itu kepada pemberita.

Difahamkan kenyataan itu dikeluarkan Norena selepas melakukan pemantauan di Pasar Besar Majlis Bandar Raya Melaka pada Jumaat, 1 Julai.

“Rakyat perlu memahami situasi inflasi”

Tambah Norena, rakyat perlu memahami situasi kenaikan harga barang disebabkan inflasi di seluruh negara ketika ini.

“Kerajaan memutuskan untuk bagi lagi pelbagai subsidi untuk bagi kita tak terbeban dengan inflasi tapi kita mohon sangat terutama rakyat Melaka (faham), kita sekarang dalam inflasi yang tinggi.

“Bukan Malaysia sahaja tekanan barangan naik, bahkan satu dunia. Ini bukan isu baru,” katanya lagi.

 

Terima pelbagai respon, namun lebih ramai yang mengkritik

Meskipun ada yang bersetuju dengan punca tercetusnya kenaikan harga barang-barang, namun ramai dilihat kurang senang dengan saranannya agar pengambilan telur sebagai makanan harian dikurangkan.

Ada yang merasakan cadangan itu tidak masuk akal memandangkan telur adalah salah satu sumber protein paling murah yang boleh didapatkan di pasaran.