Remaja berumur 16 tahun ini dirogol 400 lelaki selama 6 bulan
Kejadian di India, remaja perempuan berusia 16 tahun telah dikahwinkan oleh bapanya pada usia muda dan mendakwa telah dirogol 400 lelaki sejak enam bulan lalu.
Menerusi laporan Utusan, mangsa kini sedang mengandung dua bulan. Sebelum ini mangsa sudah cuba memfailkan aduan kepada anggota polis, tapi masih lagi menjadi mangsa eksploitasi secara seksual.
Didera oleh suami dan ipar
Kes aduan dari remaja itu didaftarkan bawah Akta Larangan Perkahwinan Kanak-Kanak, Akta Perlindungan Kanak-Kanak dari Serangan Seksual dan kesalahan rogol di bawah Undang-Undang Jenayah India, menurut Utusan. Seramai tiga orang telah ditahan kerana berkait dengan kes ini.
Ayah kepada mangsa telah mengahwinkannya enam bulan lepas, selepas kehilangan ibunya. Namun, perkahwinan itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan dan dia didera oleh suami dan iparnya.
Mangsa kemudian melarikan diri dan berjumpa dengan bapanya, namun dia tidak diterima oleh ayahnya dan terpaksa mengemis di stesen bas di Ambajogai di daerah Beed.
Saya didera oleh ramai orang. Saya pergi ke balai polis Ambajogai beberapa kali untuk membuat aduan, namun, pihak polis langsung tidak mengambil tindakan terhadap pelaku.
Sebaliknya, saya yang diserang oleh pihak polis.
Di stesen bas itulah dia mula dieksploitasi secara seksual dan mendakwa telah dirogol oleh 400 lelaki.
Semoga remaja ini kuat menjalani hari-hari yang penuh dengan liku kehidupan dan kerakusan manusia yang tidak berhati perut. Semoga keadilan berpihak kepadanya.