Rider makanan ini sanggup cuti seminggu demi bantu mangsa banjir
Musibah banjir yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu mendorong pelbagai pihak pihak seperti syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk berganding bahu membantu mangsa yang terkesan.
Ada yang menyalurkan bantuan dalam bentuk kewangan serta barangan keperluan asas, dan ada juga yang menghulurkan bantuan tenaga kepada mangsa banjir.
Tidak terkecuali sekumpulan pemuda penghantar makanan yang sanggup mengambil cuti untuk membantu mereka yang terkesan.
Dikongsikan wartawan Awani Ridauddin Daud di Twitter, kisah sekumpulan pemuda ini mencuri perhatian orang ramai.
Menerusi satu video temubual byarikat yang berbeza di mana ada yang dilihat bekerja bersama FoodPanda, ada yang bersama GrabFood dan ada juga penghantar dari ShopeeFood.
Yang menariknya mereka terdiri dari rider syarikat-syarikat yang berbeza di mana ada yang dilihat bekerja bersama FoodPanda, ada yang bersama GrabFood dan ada juga penghantar dari ShopeeFood.
Bantu sumbang makanan, pakaian dan tenaga
Difahamkan mereka yang dari Tasik Puteri, Rawang menghulurkan pelbagai jenis bantuan antaranya sumbangan bekalan makanan, pakaian malah turut menyumbang tenaga membersihkan rumah mangsa banjir di beberapa kawasan berbeza.
“Hari ini hari keempat kitorang. Hari pertama kitorang collect duit dari kawan-kawan sendiri dan beli makanan untuk diagihkan kat Petaling Jaya dan Shah Alam.
“Hari kedua kami di Hulu Langat juga, tapi di Taman Sri Nanding. Kami hantar pakaian dan sedikit makanan kering.
“Semalam (hari ke-3) kami di Bestari Jaya hantar makanan dan bantu bersihkan rumah penduduk di sana,” kata pemuda tersebut sewaktu ditemu bual.
Sanggup cuti 7 hari dari Job
Semua rider ini umur baru 18 namun semangat, jiwa mereka cukup besar.
Cuti tujuh hari dari job utk bantu mangsa banjir.Tabik untuk anda.@501Awani#Banjir2021 #AWANInews #DaruratBanjir pic.twitter.com/m04dJus5vv
— Ridauddin Daud (@RidauddinDaud) December 23, 2021
Malah, mereka sanggup mengambil cuti dari menghantar makanan selama 7 hari demi menjayakan misi bantuan tersebut.
“Seminggu ni memang kami nak fokus tolong orang-orang di sini (sekitar Selangor). Untuk hari ini dalam 15 orang, tapi esok mungkin lebih ramai,” katanya lagi.
Perkongsian Ridauddin Daud nyata menarik perhatian netizen yang memuji tindakan pemuda-pemuda berkenaan.
Ramai yang berharap akan ada lebih ramai lagi pemuda seperti mereka yang tampil turun padang dan membantu orang ramai yang terkesan.