Sadis! Suami terjun pangsapuri selepas tikam isteri
Seorang lelaki yang dikatakan menikam isterinya dengan sebilah pisau sehingga mati, ditemui penduduk dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 7.38 pagi sebelum mangsa berusia 54 tahun dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Pada jam 12.30 tengah hari, ibu mangsa tampil ke balai polis berhampiran dan memaklumkan bahawa rumah mangsa berkunci dari dalam dan meminta bantuan pihak berkuasa.
“Ketika pintu dibuka, terdapat seorang wanita terbaring di katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pihak forensik,” katanya ditemui, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal menemukan kesan luka pada paha dan leher wanita berusia 46 tahun itu serta mangsa adalah isteri kepada lelaki terbabit. Polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Kejadian disyaki berpunca daripada perselisihan faham dan pergaduhan suami isteri berkenaan. Kita percaya lelaki terbabit menikam isterinya sebelum terjun dari tingkat 12 pangsapuri ini.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai selesai dan kita hantar mayat ke HPP untuk proses bedah siasat,” katanya.