Sedihnya! Kasihan budak ini, lumpuh selepas positif Covid-19
Seorang wanita bergelar ibu menggesa orang ramai mendapatkan suntikan vaksin dan memakai pelitup muka semasa varian Delta yang merebak semakin ganas.
Wanita itu mempunyai anak perempuan berusia lapan tahun yang menghidap ADEM (Acute Disseminated Encephalomyelitis) selepas disahkan positif Covid-19, Lapor NBC News.
ADEM adalah penyakit sistem saraf pusat yang jarang berlaku dan boleh menyebabkan kelumpuhan otot.
Mac lalu, Avella, 8, dilanda demam panas dan ibunya, Lani Bauer memutuskan supaya anaknya tidak pergi ke sekolah.
Selepas demamnya kembali kebah, dia menghantar anaknya semula ke sekolah, namun, kanak-kanak itu mula menunjukkan perubahan yang pelik.
“Saya terima panggilan dari pihak sekolah yang menyuruh saya datang kerana keadaan Avella tidak seperti dirinya sebenar dan kerap tidur di dalam kelas,” katanya, lapor Utusan.
Beberapa hari selepas itu, Bauer mendapati anaknya tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke hospital.
Selepas menjalani beberapa ujian, dia disahkan menghidap ADEM dan positif wabak tersebut.
Kanak-kanak itu disahkan lumpuh sepenuhnya dan ditahan di hospital.
Avella sebelum ini merupakan seorang yang aktif bersukan, bijak dan kelakar.
Namun, semua itu berubah dalam sekelip mata apabila dia tidak lagi boleh berjalan atau bercakap serta makan melalui tiub khas.