Selepas kehilangan isteri, suami ini perlu jaga 11 orang anak
Selepas 15 jam bertarung nyawa, Che Nur Asmiza Che Zahari, 31, akhirnya pergi jua menghadap Ilahi di sisi 11 anak serta suaminya, Mohd Nor Azim Firdaus Razali.
Sejak Julai lalu, Che Nur Asmiza menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana jangkitan kuman dalam darah.
Suaminya, Mohd Nor Azim Firdaus Razali, 37, berkata sudah hampir dua bulan isterinya tidak dapat menatap wajah anak-anaknya.
Katanya, Jumaat lalu akhirnya Che Nur Asmiza dibenarkan keluar hospital dan perlu menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari di rumah.
“Besar harapan saya untuk dia kembali sembuh. Dua hari sebelum dibenarkan pulang, dia sudah tidak lagi perlu menggunakan alat bantuan pernafasan. Dia juga sudah mampu berjalan dalam keadaan lemah ketika pulang ke rumah.
“Sepanjang berada di rumah, isteri memang 24 jam perlu bergantung kepada tabung oksigen dan kami menerima bantuan peralatan itu dari seorang aktivis masyarakat, Nur Adilah Nasir,” katanya.
Namun menurutnya, Che Nur Asmiza hanya sempat berada sehari sahaja di rumah sewa mereka di Taman Sri Bayu sebelum terpaksa rujuk semula ke HUSM pagi semalam.
“Pagi semalam secara tiba-tiba arwah isteri diserang sawan dan kejang malah terus tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke HUSM dengan ambulans.
“Dia dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagaimanapun atas permintaan kami, hospital membenarkan isteri dibawa pulang tengah malam tadi dan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.03 pagi,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di sini, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Mohd Nor Azim yang menjaga 11 anak iaitu dua cahaya mata mereka berdua manakala sembilan lagi daripada perkahwinannya dan Che Nur Asmiza yang terdahulu disebabkan wanita itu kritikal dirawat di hospital dan mengundang simpati dari banyak pihak.
Mohd Nor Azim berkata banyak pihak menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan dan ia melegakan bebannya sekeluarga kerana ia dapat digunakan untuk melunaskan kos rawatan hospital dan bayaran rumah sewa yang sudah tertunggak selama dua bulan.
Katanya lagi, semua 11 anaknya yang berusia 15 bulan sehingga 15 tahun termasuk lima anak tiri akan terus dijaga memandangkan itu adalah amanat arwah Che Nur Asmiza
“Setiap kali berpeluang berbual, hanya itu pesanan yang kerap dimintanya selain berpesan kepada semua anak supaya tidak meninggalkan solat serta menjaga diri dengan baik.
“Saya reda dengan takdir ini dan akan terus menjaga semua anak kami ini sebaik mungkin kerana selain amanat arwah, ia juga tanggungjawab saya sebagai bapa,” katanya sambil memberitahu jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pauh Ganja, Pasir Pekan.
Sumber – HM