SIC kini dikenali sebagai Litar Antarabangsa Petronas Sepang
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan sukacitanya telah mengumumkan perkongsian hak penamaan penuh bersejarah selama tiga tahun dengan gergasi minyak dan gas tanah air, PETRONAS.
Perkembangan terkini mengenai perkara menarik dalam sejarah SIC itu menyaksikan litar kebanggaan tanah air tersebut kini dijenamakan sebagai Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Perkongsian antara SIC dan PETRONAS itu nyata mewakili visi bersama kedua-dua entiti ternama dalam bidang masing-masing tersebut.
Ia merangkumi komitmen terhadap kecemerlangan, inovasi, dan menyampaikan pengalaman luar biasa kepada peminat dan pelawat tempatan dan antarabangsa, dengan matlamat untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan dan hiburan.
Bercakap mengenai perkongsian baharu itu, Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, berkata: “Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana mempercayai visi kami dan berganding bahu dengan kami dalam perjalanan yang luar biasa ini.
“Saya percaya perkongsian ini akan memberi lebih impak kepada landskap perlumbaan dan lebih banyak jenama akan memanfaatkan nilai tambah untuk perniagaan dan pelanggan mereka dalam penyatuan SIC dan PETRONAS.”
“Sebagai salah satu peneraju industri dalam sukan permotoran melalui penglibatannya dalam Formula 1 dan MotoGP™, ini akan membuka pintu kepada peluang baharu untuk menganjurkan lebih banyak acara bertaraf dunia di venue bertaraf dunia kami.”
Datin Anita Azrina Abdul Aziz, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS menambah, “PETRONAS berbesar hati untuk memulakan kerjasama ini.”
“Pelaburan yang mewakili kemuncak hubungan kami yang telah lama terjalin dan kami komited untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri sukan dan hiburan di Malaysia dan seterusnya.”
“Perkongsian ini melangkaui hak menamakan sahaja – ia menandakan dedikasi kami untuk mempromosikan acara bertaraf dunia, memupuk pembangunan bakat dan mempamerkan keupayaan negara kita di pentas global.”
Litar yang baharu dinamakan, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang berlangsung berkuat kuasa serta-merta, menjelang perlumbaan PETRONAS Grand Prix Malaysia 2023 (MotoGP™ Malaysia) yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 November ini.