Tak sempat ‘puas’, pekerja kilang rugi RM11300 ditipu pelacur
Hasrat seorang pekerja kilang untuk berseronok dengan seorang pelacur berkecai apabila dia terpedaya dengan penipuan perkhidmatan pelacuran Rozer Gold yang dihubunginya melalui aplikasi whatsApp, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, semasa mangsa iaitu lelaki berusia 36 tahun berada di sebuah kilang di Bahau, mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki di nombor telefon 011-26835029 untuk mendapat seorang perempuan (amoi) untuk perkhidmatan pelacuran sekitar 12 tengah hari.
Menurutnya, mangsa diminta untuk memasukkan wang berjumlah RM300 ke aplikasi Razer Gold dan Silver.
“Mangsa membuat bayaran kira-kira sejam selepas berurusan di sebuah kedai serbaneka 24, jam dan selepas pembayaran, mangsa diminta untuk menghantarkan gambar kad pengenalan sebagai bukti.
“Dalam urusan tersebut mangsa telah membuat 22 kali tambah nilai ke Aplikasi Razer Gold & Silver Jam berjumlah RM11,300.00. Bagaimanapun, mangsa kemudiannya ada bertanyakan kepada kawan tentang hal tersebut dan diberitahu aplikasi tersebut tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, mangsa yang merasakan tertipu dan bimbang kad pengenalannya akan disalahgunakan segera membuat laporan di Balai Polis Bahau semalam.