Trend video pendek TikTok buat kita alpa, dah hilang fokus membaca lama
Boleh dikatakan aplikasi video pendek TikTok adalah antara platform media sosial yang popular masa kini tanpa mengira batasan umur.
Kejayaan TikTok yang muncul sebagai aplikasi paling banyak dimuat turun di seluruh dunia telah menyebabkan beberapa platform media lain turut menggunakan kaedah serupa dengan terhasilnya Reels, Youtube Shorts dan lain-lain.
Walaupun ramai mengatakan ada manfaat yang diperoleh menerusi video-video pendek ini, namun kita tidak dapat menolak terhadap kesan berpanjangan daripada sudut negatif.
Banyak kajian melaporkan pengguna TikTok dalam kalangan kanak-kanak menghabiskan purata 80 minit sehari di TikTok, berbanding dengan 85 minit sehari menonton video di YouTube.
Di China, data terkini melaporkan sekitar 28.2 peratus pengguna internet dilihat menonton video pada kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan asal sesuatu video.
Angka berkenaan lebih tinggi dalam kalangan pengguna muda iaitu sekitar 40 peratus yang memilih untuk menonton pada kelajuan dua kali ganda.
Perubahan trend ini dikatakan selari dengan trend video pendek seperti di TikTok, Reels yang mana pengguna lebih selesa memberikan hanya sedikit masa sahaja untuk menikmati sesuatu kandungan, menerima info yang padat dan ringkas.
Bagaimanapun, dari satu sudut, ia menunjukkan tempoh fokus semakin singkat menyebabkan mudah hilang fokus untuk perkara yang memerlukan penghayatan lebih lama seperti membaca, menonton filem dan sebagainya.
Seorang pengguna Facebook, Zulfikarullah Ren menyuarakan kebimbangan terhadap trend ini yang turut memberi kesan kepada dirinya.
Menerusi perkongsian beliau, trend tersebut telah menyebabkan kita mudah leka dan alpa apabila secara tidak sedar kita telah ketagih membuka aplikasi berkenaan berjam-jam pada satu-satu masa.
Jika dahulu mampu membaca buku dalam tempoh yang lama, kini membaca dalam dua hingga tiga muka surat sudah terasa beratnya.
Dahulu mampu menonton filem yang mempunyai durasi lebih 2 jam, tetapi sekarang ini mudah cepat bosan dan ada kalanya ‘forward’ untuk menghabiskan cerita. Malahan, kesan itu juga mempengaruhi fokus dalam bekerja.
“Video pendek saja, tetapi terkadang berjam-jam kita skrol tengok. Terkadang tu video tiada faedah langsung. Buang masa begitu saja.”
Tabiat menonton video pendek itu juga menyebabkan kita mudah cepat bosan dan berputus asa dengan sesuatu perkara sama ada secara sedar dan sebaliknya.
Mungkin kita sebagai orang dewasa cepat tersedar mengenai ketagihan ini namun dikhuatiri tidak kepada kalangan remaja dan kanak-kanak jika tidak dikawal.