Tular had umur 35 tahun dalam PLKN 3.0, rupanya hanyalah untuk kes penangguhan

Tular had umur 35 tahun dalam PLKN 3.0, rupanya hanyalah untuk kes penangguhan

 

Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa had umur 35 tahun untuk peserta Program Latihan Khidmat Negara yang akan diperkenalkan semula (PLKN 3.0) hanya untuk peserta yang tidak dapat menyertai PLKN pada ketika tersebut dan memohon penangguhan.

“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.

“Sebagai contoh, sekiranya PLKN dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut.

“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.

“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.”

Sebelum ini pengumuman had umur ini mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat. Mereka mempersoalkan bagaimana seorang individu yang berkahwin dan bekerja mampu menyertai PLKN 3.0.