Unboxing pengantin: Eee geli geleman!
SEMUA nak trending, nak tular di media sosial tanpa mengira soal moral dan maruah. Perbuatan dan perkara ini heboh diperkatakan beberapa hari lalu. Terkini, sibuk dengan trend ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ yang menjadi ikutan pasangan pengantin baharu terutamanya dalam kalangan wanita bertudung di aplikasi TikTok.
Sewajarnya perbuatan ‘unboxing’ itu mendapat respons negative dari kalangan netizen kerana ia dilihat keterlaluan dan melampau.
Walaupun rakaman video ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ hanya memaparkan pengantin lelaki membuka pin tudung atau mahkota pasangannya namun ia tidak sesuai dipertontonkan kepada khayalak.
Samalah seolah-olah perbuatan si suami itu tidak menjaga sensitiviti masyarakat sekeliling dan acah-acah kebaratan!
Seorang pendakwah media sosial, PU Syed menyatakan pandangannya bahawa kandungan video seperti itu adalah mengarut.
Rakaman video seperti itu juga boleh mendatangkan fitnah dalam kalangan yang menontonnya. Itu tidak termasuk dikutuk khalayak!
Memang benar pandangan PU Syed, isteri kita adalah hak kita. Jangan kongsi dengan orang lain kecantikannya. Semuanya untuk suami.
Kita faham pasangan muda mahu mencuba perkara baharu dan itu adalah sifat manusia tetapi kenalah pandang pada sudut agama dan akur dengan perintah Allah.
Sebaik-baiknya perkara ‘unboxing pengantin’ ini dielakkan kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah sebaliknya membangkitkan kemarahan orang ramai.
Mahukah pelaku dalam ‘unboxing pengantin’ melayari bahtera rumah tangga dengan kutukan masyarakat di sekeliling? Panas babe rumah tangga nanti!
Janganlah semua benda nak dirakam. Kalau kena komen dan kecam, mengamuk pula dan kenyataan ini ada benarnya.
Generasi muda hari ini janganlah terlalu terikut-ikut dengan trend dan mudah terpengaruh dengan media sosial termasuk TikTok kecuali untuk kebaikan.
Tidak salah menggunakan media sosial termasuk TikTok secara aktif untuk kebaikan dan bukan mengundang kutukan sehingga ke tahap memalukan keluarga.
Selepas ini, fikirlah sematang-matangnya sebelum merakam video dan memuatnaik di mana-mana aplikasi media sosial.