Van jenazah pakai lampu kecemasan pun jadi isu, akhirnya ada yang tampil beri penjelasan
Baru-baru ini, media sosial hangat memperkatakan mengenai ciapan seorang wanita tentang keperluan van jenazah menggunakan lampu kecemasan semasa berada di tengah-tengah kesesakan jalan raya.
“Kenapa van jenazah nak guna lampu kecemasan tengah-tengah traffic jam ni? Dah jadi jenazah dah kan?” soalnya di Twitter.
Perkongsian tersebut ternyata tidak disenangi orang ramai menyebakan dia teruk dikecam kerana ramai beranggapan dia tidak sensitif dan kurang rasa hormat pada orang yang sudah meninggal dunia.
Menyedari isu berkenaan berkait dengan tugasan harian mereka, beberapa wakil NGO yang menguruskan hal pengebumian secara percuma antaranya pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai tampil menjawab soalan tersebut.
Menurut Wan Cai, selain urusan solat dan nikah, pengebumian jenazah juga adalah salah satu dari tiga perkara yang harus disegerakan.
“Nabi SAW menyuruh kita agar segera mengebumikan jenazah apabila jenazah itu telah selesai dimandi, dikafan dan di sembahyangkan,” tulisnya di Facebook.
Beliau dalam masa sama turut memetik sabda Baginda yang berbunyi : “Hendaklah kamu segera mengkebumikan jenazah(mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkok kamu.”
Tambahnya lagi, kumpulan UKVJ juga ada berpengalaman menguruskan sebanyak 16 jenazah dalam satu hari di saat kes kematian akibat Covid-19 begitu tinggi di negara kita pada tahun lalu.
“Nak aturkan masa bukan mudah sebab kami perlu bergerak pantas. Kami taknak jenazah-jenazah yang ada menunggu lama untuk diurus serta dikebumikan. Secara lojiknya kegunaan lampu beacon atau siren adalah perlu melibatkan kematian yg harus disegerakan,” tulisnya di ruangan komen.
Turut dijelaskan sukarelawan lain
Selain Wan Cai, perkara sama turut dibangkitkan seorang lagi wakil sukarelawan NGO, Mat Yoe dari JNZA Gaung Global di Facebook.
Menurut Mat Yoe, selain pengurusannya yang perlu disegerakan mengikut saranan agama, pengguna lampu kecemasan dan siren juga perlu bagi memastikan kehadiran van jenazah disedari pengguna jalan raya lainnya.
Selain itu terdapat beberapa lagi perkara teknikal yang harus diambil kira iaitu :
#1 Masa
Pengurusan jenazah sangat berkait rapat dengan masa. Setiap urusan akan ditentukan dengan masa.
“Sebagai contoh jenazah boleh di bawa keluar dari bilik forensik pada pukul 9 pagi. Mandi kapan akan dilakukan pada pukul 10 pagi dan solat jenazah di masjid pada pukul 11 pagi. Pengkebumian akan dilakukan pada 12 tengah hari.
“Dalam pengurusan jenazah, lewat 10 minit pun telah dikira sangat lama. Setiap masa yang ditentukan oleh waris dan juga pasukan pengurusan jenazah biasanya akan ditetapi dengan setepat-tepatnya,” kata beliau.
#2 Pemandu kenderaan jenazah
Setiap hari, bukan 1 jenazah sahaja yang perlu diuruskan. Malah beliau juga berpengalaman mengurusan 8 jenazah dalam satu hari.
“Bermula 8 pagi dan berakhir 6 pagi keesokkan harinya. Perjalanan dari hospital ke tanah perkuburan pula agak jauh. Pergi dan balik memakan masa 3 jam jika langsung tidak berhenti.
“Macam aku, jika ada jenazah di dalam kenderaan aku cuma akan berhenti untuk isi minyak dan juga solat sahaja. Selebihnya aku akan buat apabila selesai hantar jenazah.Kami pemandu van jenazah adalah manusia biasa yang memerlukan rehat serta makan dan juga minum selepas selesai tugasan.
#3 Keadaan jenazah
Jelas beliau, mengambil kira keadaan jenazah juga penting kerana ia biasanya mampu bertahan di persekitaran luar dalam masa kurang 8 jam selepas meninggal dunia berbanding jenazah dalam peti di bilik forensik.
“Selepas 8 jam jenazah berada di luar biasanya badan jenazah akan sedikit lebam dan juga mula mengeluarkan sedikit bau. Kadang kala cairan badan juga akan mula keluar dari mulut dan juga hidung. Jenazah kemalangan atau jenazah yang mempunyai luka besar cuma mampu bertahan di persekitaran luar lebih kurang 4 jam sahaja.
“Jenazah seperti ini akan mula membusuk apabila lebih dari 4 jam.”
#4 Perkara luar jangka
Kadang kala kenderaan jenazah mengalami kerosakkan ketika dalam perjalanan. Jika hal ini berlaku, kenderaan jenazah gantian perlu segera memberi bantuan.
“Kita perlu berusaha sedaya upaya supaya waktu yang dijanjikan dengan waris dapat ditepati dan jika terlewat sekalipun, tidak terlalu lama.”
#5 Keadaan kubur
Bagi isu ni, beliau berkata tidak ramai orang hang tahu melainkan mereka yang kebiasaannya menguruskan jenazah seperti penggali kubur.
“Ni jarang orang tahu kecuali orang yang selalu gali kubur. Muka bentuk bumi ada banyak. Ada tanah pasir, ada tanah gambut, ada tanah bukit, ada tanah selut.Kubur jenis berpasir dan berair jika di gali awal biasanya akan mudah runtuh.
“Jika runtuh, proses pengkebumian akan tergendala.Kadang kala kubur akan digali menggunakan backhoe apabila jenazah tiba di tanah perkuburan dan akan segera dikebumikan.
‘Tanah runtuh boleh membahayakan nyawa orang yang menguruskan pengkebumian tersebut.Kalau jenazah lambat sampai, nak biar tukang urus kubur berkampung kat kubur?” ajunya lagi.
#6 Permintaan waris
Mat Yoe dalam masa sama turut menjelaskan ada permintaan waris yang mahu urusan jenazah segera dilaksanakan.
“Kami team pengurusan jenazah biasanya akan menunaikan segala permintaan waris selagi permintaan tersebut tidak melanggar hukum agama. Ada waris yang ingin menyegerakan pengkebumian.
“Kami pernah buat 1 kes dimana arwah meninggal dunia pada pukul 2 pagi dan pengkebumian selesai pada pukul 6 pagi pada hari yang sama. Cuma 4 jam masa diperlukan,” kata beliau lagi.
Dengan penjelasan panjang lebar ini, beliau berharap orang ramai mula peka dan faham kenapa van jenazah perlu menggunakan lampu kecemasan dan siren.