20 pelajar keracunan gara-gara minum air berkarbonat campur ‘spirit’

20 pelajar keracunan gara-gara minum air berkarbonat campur ‘spirit’

 

Seramai 20 pelajar di sebuah sekolah asrama di Pitas, Sabah telah dimasukkan ke wad kecemasan selepas mengalami keracunan akibat meminum minuman berkarbonat yang disyaki dicampur dengan spirit (hidrokarbon).

Kritikal lepas minim spirit

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintenden Zairolnizal Ishak, dua daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal manakala 18 pelajar lain turut menerima rawatan.

Menurut sumber, kejadian tersebut berpunca selepas salah seorang pelajar membeli satu botol minuman berkarbonat dan dua botol spirit dari kedai berhampiran sekolah.

Tujuan kedua-dua cecair tersebut dibeli adalah untuk mendapat kesan yang sama dengan arak memandangkan kawasan sekitar asrama tidak menjual arak.

Selepas kedua-dua bahan itu dicampur, pelajar berkenaan telah meminumnya secara beramai-ramai di dalam bilik asrama namun tiga daripadanya mengalami sakit perut dan mengadu kurang sihat kepada warden asrama.

Mereka kemudian dibawa ke klinik sebelum dibenarkan pulang. Namun siapa sangka, mereka kemudian dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Pitas yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I dan II selepas dua daripadanya mengalami kekejangan otot serta mengalami sesak nafas.

Manakala 18 pelajar lain masih mendapat rawatan di Hospital Pitas dan berada dalam keadaan stabil.