Agong arah ahli politik, agensi kerajaan turun padang selami derita rakyat

Agong arah ahli politik, agensi kerajaan turun padang selami derita rakyat

Prihatin kepada nasib rakyat yang terjejas berikutan tindakan kerajaan membendung pandemik Covid-19, titah Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di parlimen hari ini.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar ahli parlimen serta semua agensi kerajaan yang terbabit turun padang untuk meninjau sendiri serta menyelami isu-isu rakyat.

“Sesungguhnya beta amat prihatin dengan nasib rakyat beta yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah-langkah tertentu oleh kerajaan dalam usaha untuk membendung pandemik Covid-19.

“Justeru, beta menyeru kepada ahli-ahli yang berhormat dan semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang telah dimumkan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah menyampaikan pesanan itu semasa berucap dalam istiadat pembukaan penggal keempat parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Berikutan ancaman wabak Covid-19 dan peningkatan korbannya, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan termasuk perintah kawalan pergerakan melalui fasa-fasa tertentu.

Ia secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada ekonomi rakyat memandangkan pelbagai sektor dan industri tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa, sehingga menjejaskan pendapatan orang ramai.

Menang tak menang semua

Baginda bertitah supaya tumpuan diberikan terhadap program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif wilayah cakna, wilayah bebas berniaga dan usahawan anak muda kota yang berupaya meringankan bebanan warga kota.

Menurut baginda lagi, program pembangunan luar bandar juga hendaklah terus ditingkatkan dan diperkasakan.

“Kerajaan hendaklah menentukan pelan strategik pembangunan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” titahnya.

Tambah baginda, kerajaan yang baru dibentuk perlulah segera melipatgandakan usaha memerangi pandemik Covid-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancamannya.

ef27c2b10e6c56d7828b0ae5735ec91a.jpg

Seperti yang dijanjikan oleh kerajaan baru bagi membuktikan prestasi pencapaian setiap kementerian dalam tempoh 100 hari pertama, baginda juga meletakkan kepercayaan bahawa mampu dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

“Melangkah ke hadapan, beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi biduk lalu, kiambang bertaut.

“Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua,” titahnya.