Agong gesa ‘demokrasi bermusyawarah’ diamal, banteras rasuah
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam titah diraja hari ini menggesa kerajaan dan pembangkang mengamalkan “demokrasi bermusyawarah” selain turut menyambut baik pelan anti rasuah negara.
Dalam titah diraja hari ini, beliau berkata semua pihak hendaklah segera melipatkan ganda usaha memerangi pandemik covid-19 dengan mengambil aspirasi Keluarga Malaysia.
“Melalui gerak kerja berprestasi tinggi, pencapaian awal pada 100 hari pertama pasti akan dapat dicapai dengan amalan demokrasi bermusyawarah.
“Hanya menerusi kesatuan, kesepakatan, dan kebersamaan sebagai Keluarga Malaysia, kita dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” katanya.
Menurutnya, kerjasama dwi partisan yang matang akan membentuk landskap politik yang baru dan berupaya mengubah sistem pentadbiran negara ketika ini.
“Kematangan seperti inilah yang didambakan seluruh rakyat. Ambillah nasihat pepatah melayu lama kiduk lalu kiambang bertaut.
“Yang menang tidak menang semua, yang kalah tak kalah semua,” katanya.
Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut menghargai usaha kerajaan untuk mewujudkan tadbir urus dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran negara menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
“Adalah amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Anti Rasuah Organisasi didukung bagi mencapai aspirasi rakyat beta untuk hdup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegiriti.”
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bermula hari ini dengan dirasmikan Sultan Abdullah di Dewan Rakyat.
Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada titah diraja.
Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober.
Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Oktober.