Agong: Usah pertaruhkan nasib negara, rakyat demi agenda politik
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan wakil-wakil rakyat supaya tidak meletakkan nasib negara dan rakyat sebagai pertaruhan semata-mata untuk mencapai agenda mereka.
Bertitah dalam istiadat pembukaan penggal keempat parlimen hari ini, baginda mengingatkan negara sudah berdepan dengan pandemik Covid-19 dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan punca pendapatan rakyat dan ekonomi negara.
“Negara dan rakyat beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.
“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik dan terlalu ramai juga rakyat beta yang kehilangan sumber rezeki.
“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih dengan seribu harapan agar sinar harapan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Nasihat beta kepada semua ahli-ahli berhormat, jangan sama sekali meletakkan nasib negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu,” titah baginda pagi ini.
Memuji usaha kerajaan dalam program vaksinasi negara, baginda bagaimanapun mengingatkan supaya semua pihak tidak mudah alpa dan berpuas hati dengan apa yang dikecapi.
“Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baru.
“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera,” titahnya.
Semalam sebanyak 19,198 lagi kes baru Covid-19 dilaporkan di seluruh negara menjadikan jumlah terkumpul jangkitan wabak berbahayat itu mencapai 1,979,698 kes.
Laman web baru bagi menjejak situasi semasa pandemik Covidnow pula merekodkan kes keseluruhan kematian akibat jangkitan wabak itu ialah sebanyak 20,711.
Baginda turut menyambut baik usaha kerajaan memperkasakan agenda nasional Malaysia Sihat untuk mendidik rakyat hidup bersama virus Covid-19.
“Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
“Dalam kita menerima Covid-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini, khususnya varian baru dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan,” titah baginda.
Namun, Al-Sultan Abdullah mengingatkan, rakyat masih lagi perlu sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard pada setiap masa. MM