Agong yakin kerajaaan mampu bukti pencapaian awal dalam 100 hari

Agong yakin kerajaaan mampu bukti pencapaian awal dalam 100 hari

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan yang baharu dibentuk segera melipat gandakan usaha untuk memerangi Covid-19 dan membawa rakyat keluar daripada ancaman pandemik berkenaan.

Al Sultan Abdullah bertitah, baginda percaya kerajaan mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari melalui amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang.

Malah, tindakan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan semua pihak dalam pendekatan baharu dwi-partisan membentuk landskap politik baharu adalah suatu perkara positif dalam sebuah pentadbiran negara.

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat, pepatah Melayu lama yang berbunyi hidup lalu, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Beta ingin menasihatkan pada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang pada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam mentadbir negara,” titah Seri Paduka.