Ahli Majlis Tertinggi Bersatu desak Zuraida diambil tindakan

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu desak Zuraida diambil tindakan

MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu meminta kepemimpinan parti itu mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa tidak membantu berkempen sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata tindakan Zuraida tidak mempedulikan hal parti perlu dipandang serius.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen bekas Naib Presiden PKR terbabit tidak dilihat membantu parti itu.

“(Saya) beranggapan satu tindakan serius terhadap Zuraida perlu diambil,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Faiz berkata, langkah Zuraida yang dianggap tidak mempedulikan hal Bersatu serta ‘mengkhianati’ parti terbabit perlu dipandang serius.

“Saya berharap pemimpin Bersatu tak memandang ringan hal ini. Secara halus, hakikatnya watak ini (Zuraida) tidak bersama dengan perjuangan Bersatu lagi kerana telah mengkhianati parti walaupun tidak dinyatakan secara terang.

“PRN Johor pun dia tidak turun, dia pergi berkempen pun tak ada. Ini bermakna dia bukan bersama PN. Itu sangat ke­tara.

“Zuraida memang tak membantu melainkan kalau dia turun pun atas kuasa dia mewakili kementerian. Kalau parti, memang tidak ada kena-mengena,” katanya.

Zuraida merupakan antara bekas Ahli Parlimen PKR yang bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Beliau serta beberapa Ahli Parlimen lain dari PKR kemudian menyertai Bersatu.

Selepas kejatuhan PH, Zuraida dilantik Tan Sri Muhyiddin untuk terus kekal di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ditukarkan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Malah, Zuraida yang juga bekas Ketua Wanita PKR dikaitkan dengan Parti Bangsa Malaysia yang diasaskan sekumpulan ahli politik yang juga bekas pemimpin PKR.