Ahli parlimen cadang daftar parti melalui SPR, bukan ROS

Ahli parlimen cadang daftar parti melalui SPR, bukan ROS

Masyarakat sivil harus menggesa kerajaan mempertimbangkan memberi tanggungjawab kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan parti politik, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Menyifatkan isu ini sebagai “matlamat paling mudah” yang boleh dicapai oleh masyarakat yang berfikiran reformasi, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, banyak parti politik mahu mendorong perubahan itu.

Pada masa ini, parti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurut Ong, Umno menjadi antara parti yang menjadi mangsa JPPM baru-baru ni. Satu lagi parti adalah MUDA, yang sedang cuba mendaftar sebagai parti politik.

Katanya, mengalihkan tanggungjawab daripada JPPM kepada SPR juga akan membantu menangani isu-isu seperti sama ada Warisan, sebuah parti Sabah, boleh bertanding di kerusi Semenanjung.

“Ini dapat dilaksanakan dalam jangka pendek sekiranya dapat persetujuan bersama lebih meluas,” katanya, lapor FMT.

“Mencapai matlamat mudah ini (seperti pendaftaran parti politik) mungkin lebih senang berbanding menggesa syarikat mengisytiharkan sumbangan politik mereka kepada parti-parti.”

Katanya, isu pendaftaran parti politik melalui SPR adalah sesuatu yang tidak boleh disertakan dalam perjanjian politik antara pihak pembangkang dengan kerajaan semasa.

Ong berkata demikian pada sebuah forum dalam talian, ketika ditanya mengenai peranan masyarakat sivil dalam mendorong perubahan berhubung pendanaan politik atau pendaftaran parti politik melalui SPR.

Katanya, dalam “topik-topik sensitif” seperti ini, kajian menunjukkan sebarang kemajuan hanya dapat dicapai secara beransur-ansur, bukan sekali gus.

Sebarang kemajuan secara berperingkat adalah jalan terbaik bagi negara untuk maju.