Ahmad Maslan pinjam duit kawan jelaskan kompaun RM1.1 juta

Ahmad Maslan pinjam duit kawan jelaskan kompaun RM1.1 juta

AHLI Parlimen Pontion, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan jumlah kompaun RM1.1 juta yang dijelaskan berkaitan kes mahkamah dihadapinya adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang menyokongnya sepanjang perjuangan beliau.

Menerusi kenyataan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq yang mewakili Ahmad, pembayaran kompaun tersebut bukan pengakuan bersalah Setiausaha Agung Umno itu terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

Katanya, proses penyelesaian tersebut dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus dan teratur.

“Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain, selain agensi siasatan dan pendakwaan yang terlibat.

“Ketiga, penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang (“win-win situation”) bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang,” kata kenyataan itu, lapor Malaysiapost.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytihar RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian itu berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun RM1.1 juta semalam.

Sebelum ini, Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Sementara pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, berhubung cek tersebut.