Akhirnya Kit Siang buka mulut, warning PH jangan lantik Adun lompat jadi calon

Akhirnya Kit Siang buka mulut, warning PH jangan lantik Adun lompat jadi calon

 

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi punca berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak patut menjadi calon dalam Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa kejayaan dalam PRN Melaka dapat dicapai sekiranya PH bersama dengan sesiapa sahaja yang boleh membawa kemenangan.

“Sekiranya diberikan pilihan di antara untuk bekerjasama dengan kleptokrat, oportunis, dan mereka yang jahat atau kalah dengan berpegang kepada prinsip politik dan integriti, saya memilih pilihan yang kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, PRN Melaka bakal memberi kesan yang lebih meluas, bukan sahaja untuk negeri itu tetapi juga untuk negara.

Katanya, PRN Melaka tidak sepatutnya diadakan susulan kerisauan dan kebimbangan penduduk di Melaka dan rakyat Malaysia, ia mungkin menjadi punca penularan wabak Covid-19 seperti mana yang berlaku pada PRN Sabah.

“Tetapi, sekiranya pilihan raya di Melaka ini tidak dapat dielakkan, ia perlulah dijalankan secara bersih dan jujur, yang akan menjadi bukti kejayaan pertemuan empat tamadun hebat dunia di Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Malaysiapost.

Dalam pada itu, Kit Siang menyifatkan PRN Melaka menjadi ujian ketahanan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan integriti parti-parti politik tanah air.

Beliau berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) membentuk landskap politik baharu yang belum didengari dalam arena politik negara.

Katanya, parti politik dan rakyat Malaysia masih bergelut untuk mencari titik pertengahan dalam landskap politik baharu ini dan perkara itu akan mengambil masa yang lama — mungkin berbulan atau bertahun lamanya.

“Tokoh pertubuhan negara tidak pernah membayangkan situasi di mana tidak ada satu pun parti politik yang boleh mempunyai hegemoni politik serta tidak ada satu pun parti yang mempunyai majoriti di Parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Malaysia mungkin sedang memasuki era di mana parti-parti politik perlu bekerja sama antara satu sama lain demi negara apabila tidak ada mana-mana parti dapat mencapai majoriti di Parlimen.

“Ia memerlukan satu bentuk pembentukan gabungan politik yang jujur, bukannya kerajaan gabungan yang dilihat dalam enam dekad sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.