Akibat rempuh dua ekor unta, pemandu bas sekolah ini maut
Seorang pemandu bas sekolah maut, hari ini, apabila kenderaannya bertembung dengan dua ekor unta dan terjunam ke bawah benteng di timur Australia.
Menurut polis, lelaki berusia 40-an itu memandu bas seorang diri pada awal pagi.
Dia melanggar haiwan itu di jalan raya di Nankin, yang terletak di kawasan luar bandar di negeri Queensland.
Polis Queensland dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal menunjukkan bas sekolah itu merempuh dua ekor unta dan jatuh ke dalam benteng.
Katanya, pemandu itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua ekor unta berkenaan turut mati susulan insiden itu,” katanya.
Penternak unta yang terbabit dalam nahas itu, John Richardson memberitahu stesen penyiaran, ABC bahawa polis telah memaklumkan kepadanya mengenai insiden itu.
Dia turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pemandu berkenaan.
Richardson turut berkata, dia telah menemui pintu pagar pada kandang untanya yang terlepas dari engsel.