AMANAH ‘acah’ semangat khemah besar, PEJUANG relax langgar semua kerusi

AMANAH ‘acah’ semangat khemah besar, PEJUANG relax langgar semua kerusi

PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) mengesahkan akan bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jumlah itu bagaimanapun sudah memadai untuk membentuk kerajaan.

“Terdapat faktor tertentu diambil kira sebab Pejuang parti Melayu. Bukan (kawasan) dominasi Melayu agak sukar untuk kita.

“Kita tak nak tunjuk kita tamak, kita bertanding 42 kerusi pun cukup,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yakin Pejuang mampu meraih kemenangan jika mereka yang benci rasuah mengundi parti diasaskannya itu dalam PRN Johor.

Namun tegas beliau, jika pengundi yang benci rasuah tidak menyokong Pejuang, parti mengamalkan rasuah akan terus berkuasa.

“Semua 42 calon ini mereka yang tak terlibat rasuah dan tak minat cari kekayaan melalui politik. Mereka hanya nak cari kemenangan kepada parti.

“Ini kualiti kita cari. Mereka ini tak semuanya terlibat dengan politik, ramai daripada mereka bukan ahli politik dikenali tapi nasionalis,” katanya.