AMANAH umum calon pertama di PRN Johor, tawar calon muda

AMANAH umum calon pertama di PRN Johor, tawar calon muda

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman sebagai calon yang akan dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) untuk N 29 Mahkota.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden AMANAH, YB Tuan Haji Mohamad Sabu dalam satu majlis bersama jentera Pakatan Harapan di sini.

Taqiuddin yang juga merupakan bekas ADUN Pulai Sebatang beralih ke kerusi Mahkota dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas penyandangnya Mohamad Said Jonit mengambil keputusan keluar parti sebelum ini.

Dalam majlis sama, YB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP mengumumkan calon PH bagi N28 Mengkibol adalah penyandangnya ,Chew Chong Sin.

Taqiuddin berkata meskipun telah diberikan jaminan untuk Dewan Undangan Negeri kekal berfungsi dengan sokongan daripada ADUN pembangkang dalam Bajet 2022, namun Umno-BN masih mahu menggunakan kuasa mereka untuk diadakan pilihan raya.

Tambahnya lagi, PH sentiasa komited untuk memastikan kestabilan politik diberi keutamaan dalam PRN kali ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan komitmen sepenuhnya untuk membangunkan daerah Kluang khususnya di DUN Mahkota.

Untuk rekod, Taqiuddin merupakan calon kedua di kalangan anak muda yang diumumkan pimpinan parti PH untuk bertanding selepas Sheikh Umar di N30 Paloh semalam.