Amat menyedihkan, majoriti pesara ATM tergolong B40

Amat menyedihkan, majoriti pesara ATM tergolong B40

Majoriti anggota pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah tamat perkhidmatan atau bersara dikesan menghadapi masalah kewangan menyebabkan mereka tergolong dalam B40.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, antara punca perkara itu kerana tidak mempunyai peluang karier kedua bagi menjamin kelangsungan hidup.

“Ketika ini, pihak ATM sedang mencari kaedah untuk menyelesaikan isu itu termasuk menggalakkan isteri anggota mencari peluang pekerjaan secara sambilan bagi membantu menjana pendapatan keluarga ketika pasangan masih bekerja.

“Isteri anggota yang mempunyai kemahiran boleh menjana pendapatan melalui kaedah perniagaan seperti dalam talian yang tak memerlukan modal besar, sekali gus berterusan membantu suami walaupun selepas pencen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas media sempena Hari ATM Ke-88, di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan bagi mencari kaedah membantu pesara tentera tidak boleh diambil daripada satu sudut sahaja, sebaliknya secara holistik membabitkan pihak kerajaan, swasta dan awam.

Menurutnya, di pihak ATM, mereka perlu memastikan anggota berkenaan bersedia daripada segi mental sebelum mengambil fasa seterusnya (persaraan) untuk hidup lebih selesa.

“Rata-ratanya anggota ATM bersara pada usia 40 tahun, kita pun tahu pada usia ini komitmen dan perbelanjaan meningkat dengan anak tak habis sekolah lagi, kereta dan rumah tak habis bayar lagi (pinjaman dengan bank).

“Aspek kebajikan anggota bersara tidak boleh dibiar begitu saja selepas menabur keringat dan darah untuk menjaga keselamatan negara,” katanya.

Affendi berkata, peruntukan RM105.3 juta tahun ini diberikan kerajaan kepada ATM tidak mencukupi untuk menjaga hal kebajikan veteran secara menyeluruh.

Beliau berkata, walaupun Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dipertanggungjawab untuk memantau dan memelihara kebajikan mereka, usaha dan insentif diberi bukan bersifat kekal.

Katanya, keberkesanan bantuan banyak bergantung kepada peruntukan disalurkan kerajaan selain sumbangan dan ehsan syarikat atau individu perseorangan.

Sumber – HM