Anak kelahiran Kg Baru gesa Rina letak jawatan ahli parlimen

Anak kelahiran Kg Baru gesa Rina letak jawatan ahli parlimen

 

DATUK Seri Rina Harun disifatkan gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa apabila didakwa gagal membela nasib penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru berkaitan pembangunan semula kawasan itu.

Bekas Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman turut mendakwa, petanda kegagalan Rina itu dilihat apabila penduduk melakukan bantahan menerusi medium lain termasuk media bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

“Bantahan terhadap pembangunan semula kawasaan berkenaan adalah petanda kegagalan Ahli Parlimen Titiwangsa YB Rina Harun dalam menyantuni masalah rakyat.

“Sebanyak 110 penduduk yang menyuarakan bantahan terhadap pembangunan semula kawasan itu terpaksa menggunakan medium lain termasuk media bagi menyuarakan bantahan mereka berikutan Ahli Parlimen kawasan bersikap lepas tangan.

“Rina bukan sahaja gagal menyantuni masalah penduduk terbabit, malah sudah sekian lama menghilang dan tidak mengambil tahu perihal masalah kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kegagalan Rina membela nasib penduduk Kampung Sungai Baru sekali gus dilihat gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat yang seharusnya berperanan mencari titik penyelasaian terbaik kepada masalah tersebut.

“Justeru itu saya menggesa YB Rina untuk tampil memberi penjelasan atau isytihar sahaja peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya, memetik Malaysiapost.

Sabtu lalu, penduduk Kampung Baru tampil memprotes mengenai pengambilan tanah di Sungai Baru khususnya dalam isu jumlah pampasan yang terlalu rendah.