Anak nafi Shebby mati kerana vaksin
Anak lelaki kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh meluahkan rasa kecewa terhadap pengguna media sosial yang mengaitkan kematian mendiang dengan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.
Sedangkan, kata Sonuljit Singh, bedah siasat yang dijalankan menunjukkan bahawa kematian ayahnya disebabkan serangan jantung akibat saluran darah tersumbat sedia ada.
“Doktor memaklumkan kepada kami punca kematiannya 99 peratus disebabkan serangan jantung dengan bedah siasat menunjukkan tiga saluran arteri koronari tersumbat 90-100 peratus.
“Semua organ pentingnya dalam keadaan baik, dan tidak terdapat sebarang tindak balas alergi,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Sonuljit berkata doktor memaklumkan bahawa ayahnya turut mempunyai masalah fibrosis jantung dan berkemungkinan besar pernah mengalami serangan tanpa disedari pada masa lalu, berdasarkan saluran jantung yang tersumbat teruk.
Katanya, ayahnya, adik beradik mendiang dan ramai saudara memiliki sejarah masalah berkaitan jantung yang sama.
“Jantungnya pada bila-bila masa boleh gagal berfungsi dan kematiannya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pengambilan dos penggalak,” kata Sonuljit.
Serbergeth, atau lebih dikenali sebagai Shebby, meninggal dunia selepas pengsan dan terjatuh semasa berbasikal di Kledang, Johor pada 12 Januari lalu.
Semasa zaman mudanya, Shebby menyarung jersi kebangsaan antara 1982 hingga 1991 dan pernah beraksi untuk pasukan Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak sebelum bersara pada 1996.
Dia mempamerkan kejayaan besar sebagai tonggak Kuala Lumpur, apabila muncul juara ligapada 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.
Dia turut meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.
Dia kekal dalam arena bola sepak apabila sering menjadi hos atau tetamu dalam program sukan selain pernah mengendalikan skuad kebangsaan serta menjadi penasihat kelab global Blackburn Rovers pada 2012.