Anak Najib kata badan daddy makin susut, mahu BN bantu bila menang PRU15

Anak Najib kata badan daddy makin susut, mahu BN bantu bila menang PRU15

Tubuh badan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini susut kerana mengalami tekanan perasaan berikutan merindui ahli keluarga dan akar umbi UMNO, kata anaknya, Nooryana Najwa.

Beliau berkata, oleh itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menegakkan keadilan sewajarnya jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, beliau tetap yakin ayahnya tidak bersalah walaupun Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

“Banyak perkara dipohon ayah telah dinafikan kerana itu saya minta UMNO dan BN mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan jika menang PRU-15. Tiada lagi orang lain menjadi mangsa selepas apa yang terjadi kepada ayah.

“Cukup memeritkan buat anak-anak dan adik-beradik melalui saat paling menyukarkan, ayah kini terpaksa belajar hidup seorang diri jauh daripada keluarga sejak berada di penjara.

“Kelmarin saya jumpa ayah, dia semakin susut mungkin sebab stress (tertekan) rindu pada keluarga dan rindu pada denyut nadi ahli UMNO seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di Klebang di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Nooryana Najwa menambah, sewaktu berkunjung ke Penjara Kajang, Selangor Khamis lalu, ayahnya sempat berbisik meminta menyampaikan amanat kepada seluruh ahli UMNO seluruh negara.

“Ayah yakin hanya UMNO dan BN yang mampu memberikan serta mengekalkan kestabilan.

“Dia turut meminta semua ahli kekal bersatu dan bersama hingga ke garisan penamat, kerana kejayaan PRU-15 boleh jadi milik kita,” jelasnya.