Antara Khairulaming dan Khaby Lame, apa yang netizen boleh pelajari?

Antara Khairulaming dan Khaby Lame, apa yang netizen boleh pelajari?

Kejayaan ikon media sosial terkemuka Khairul Amin Kamarulzaman, 30, atau lebih dikenali dengan nama Khairulaming memang sentiasa menjadi bualan.

Begitu juga dengan bintang sensasi TikTok, Khaby Lame, 22, yang menjadi kaya raya dan terkenal di seluruh dunia dengan hanya menghasilkan klip-klip video pendek yang lucu dan kreatif.

Walaupun kedua-duanya adalah sangat berbeza serta tidak wajar untuk dijadikan perbandingan, namun terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari dari kejayaan yang dicipta oleh mereka.

Profesor Madya Teknologis Profesional Dr. Ramzah Dambul melalui akaun Facebooknya Rem Dambul telah membuat satu perkongsian yang sangat bermanfaat mengenai Khairulaming dan Khaby Lame yang sangat sesuai dijadikan sebagai inspirasi dan contoh rujukan terbaik untuk anak-anak muda pada hari ini.

Khairulaming Khaby Lame

1

Ada macam-macam reaksi terhadap perjalanan hidup personal, yang baru-baru ini dikongsi oleh Khairul Aming.

Ada yang terinspirasi, mau membina kerjaya lebih bermakna. Ada yang murung, merasa diri tidak berguna. Ada juga yang sinis, menuduh influencer ini disembah macam berhala.

2

Hah, itu baru Khairul Aming, belum lagi cerita Khaby Lame. Kenapa dengan anak muda kelahiran Senegal, yang kini warganegara Italia ini?

Dia juara TikTok sedunia, dengan jumlah pengikut 150 juta. Dia tidak menjual apa-apa. Kerja dia cuma bikin video kurang seminit — tanpa krew, tanpa skrip, tanpa suara, tanpa gajet canggih dan tanpa bajet. Hobi suka-suka ini bermula tahun 2020, bila dia diberhentikan dari kerja kilang, kerana pandemik Covid-19.

Sekarang berapa pendapatan dia setahun? RM23 juta, dari akaun media sosial saja. Belum lagi masuk juta-juta endorsement penaja dari pelbagai jenama global. Paling penting, umur dia baru 22 tahun.

3

Hah, itulah kisah Khaby Lame. Anak migran Afrika, yang pernah hidup sebagai setinggan urban di Chivasso, Italia.

Ada tidak yang pengsan 31 kali dalam tempoh sepuluh minit, sebab terlebih dos inspirasi? Atau berguling-guling atas jalan, dari Manggatal sampai Menumbok, sebab kemurungan melampau? Atau istighfar 113 jam tanpa henti, sebab takut dipukau berhala level galaksiraya?

Jangan salah faham ya. Saya bukan membanding-bandingkan Khairul dan Khaby. TIDAK. Mereka berdua sudah berada dalam liga tersendiri.

Fokus saya lebih kepada refleksi diri. Tentang bagaimana cara kita (para netizen) mendefinisikan kejayaan hidup, pada ketika dunia internet sedang merajalela dengan bermacam-macam pengaruh baru.

4

Beginilah. Kita senang terpesona dan teruja dengan kesohoran ikon-ikon media sosial. Kita perlahan-lahan tergoda, mula menjadikan kemahsyuran dan pemilikan materi sebagai kiblat utama kejayaan hidup.

Ya, tidak salah mengidolakan ikon-ikon ini sebagai inspirasi. Tapi kalau tersilap menafsir tunjang sebenar kemenjadian mereka — yang ini boleh mengundang bahaya.

Jangan cuba cari apa FORMULA yang memacu mereka ke tahap itu. Sebab formula hidup bukan beroperasi macam rumus matematik, sentiasa membawa hasil akhir yang sama. Formula hidup sifatnya unik, mengikut persekitaran dan tuah masing-masing.

Yang perlu dicari — apakah PRINSIP yang mereka adunkan dalam kehidupan. Kenapa prinsip? Sebab nilai-nilai manusiawi begini, cirinya lebih sejagat dan relevan untuk dipraktik semua orang.

5

Jadi, apakah “prinsip” Khairul dan Khaby? Kita susur semula di mana mereka bermula. Jangan sekadar obses mau melihat apa yang telah mereka capai sekarang.

Kata Khairul: “Video saya sekadar suka-suka, mau berkongsi hobi sendiri.”

Kata Khaby pula: “Tujuan saya cuma satu, mahu menghiburkan orang.”

Apa persamaan mereka? Khairul dan Khaby bermula tanpa apa-apa expectation. Mereka cuma ingin berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Semuanya atas dasar keinginan dan minat yang tulen.

Ya, kata kuncinya: menjadi diri sendiri yang autentik. Mereka tidak sasarkan apa-apa pulangan materi dan populariti. Yang mereka benar-benar inginkan adalah kepuasan peribadi. Kemahsyuran dan kekayaan itu hanyalah hasil by-product, yang tidak pun dikejar.

6

Tapi itulah. Semua orang cuma nampak “kejayaan materi” mereka, dan sungguh-sungguh berusaha mau merungkai formula ke arah itu.

Yang orang tidak peduli, tentang konsep “kebahagiaan” bagi mereka. Padahal ini sebenarnya yang patut jadi tumpuan dan teladan buat kita semua.

Lihat dan renung, betapa autentik mereka. Tidak pernah bergelinjang sakan mahu menayang kereta mewah, rumah agam sebesar istana dan segala bling lip-lap. Tengok pakaian pun, biasa-biasa saja.

When you are HAPPY and truly in PEACE with yourself, you don’t feel obliged to prove anything. Hanya orang miskin cinta dan tandus kasih sayang — yang gedik menunjuk-nunjuk, selalu kemaruk perhatian.

7

Ya, kita semua boleh raih pencapaian yang sama, seperti Khairul Aming dan Khaby Lame. Tidak perlu tunggu sampai bertahun-tahun. Hari ini pun boleh.

Yang penting, kita pintar menafsir definisi “kejayaan dan kekayaan” itu dengan kamus yang betul. Jangan obses mencari formula, sebab algebra hidup setiap orang itu berbeza. Khairul dan Khaby sendiri pun guna rumus yang berlainan. Tapi prinsipnya masih sama.

Sebab itu saya kata, hayati prinsip itu dengan mata nurani. Tiada kekayaan lebih berharga, daripada ketenangan jiwa. Tiada pencapaian lebih bermakna, daripada kesudian berdamai dengan takdir dan fitrah.

Ya, hargai dirimu sendiri. Dengan segala kesederhanaan yang ada. Sebab semua mereka yang kalian kagumi itu, juga bermula dengan cara begitu.

#RemRefleksi