Antara rekod Muhyiddin ialah ramai bunuh diri, angkat bendera putih

Antara rekod Muhyiddin ialah ramai bunuh diri, angkat bendera putih

DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan keupayaan Tan Sri Muhyiddin untuk menjadi Penasihat Ekonomi Johor susulan pencapaian yang didakwa tidak memberangsangkan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri.

Najib berkata, ketika pentadbiran Muhyiddin pertumbuhan ekonomi Malaysia serta pelaburan asing jatuh ke tahap paling teruk di ASEAN.

“Selain seorang pengkhianat bersiri, rekod dia ialah ramai rakyat bunuh diri, terpaksa naik bendera putih untuk ‘surrender’.

“Rekod dia (Muhyiddin) juga ialah pertumbuhan ekonomi Malaysia serta pelaburan asing terjatuh ke paling teruk di ASEAN walaupun dia mengaku telah menghabiskan RM600 bilion dana negara dalam masa yang singkat,” katanya menerusi Facebook.

Jelasnya, Muhyiddin melaksanakan darurat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak antara paling panjang tempohnya di dunia.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan Muhyiddin hanya bagi memastikan beliau tidak ditumbangkan dalam Parlimen yang digantungnya .

“Slogan dia pula ialah ‘Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19’ namun lagi dilaksanakan darurat lagi tinggi kadar kes dan kematian Covid berbanding jumlah penduduk sehingga menjadi paling tinggi dalam dunia,” katanya.

Najib juga mendakwa, demi mahu mengekalkan kuasa Muhyiddin sanggup ‘menggurung’ seluruh rakyat Malaysia.

“Manakala kilang-kilang besar dan tapak pembinaan yang merupakan penyumbang utama kes Covid masa itu dibenarkan beroperasi pula. Langsung tak masuk akal.

“Tapi dia ada hati lagi Bapa Lockdown Malaysia seorang ini nak jadi penasihat ekonomi Johor jika PN menang PRN?,” soalnya.

Baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menawarkan diri untuk menjadi penasihat ekonomi negeri ini sekiranya dapat membentuk kerajaan nanti.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai agenda besar supaya Johor menjadi negeri paling cemerlang, gemilang dan rakyatnya menjadi maju, disegani serta dihormati.

“Saya akan bantu Johor, siapa bakal jadi Menteri Besar PN, tak kira siapa, dia adalah orang yang layak dan saya boleh jadi penasihat ekonomi,” katanya.