Anwar tempelak Menteri salahkan takdir Allah banjir di Kedah

Anwar tempelak Menteri salahkan takdir Allah banjir di Kedah

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) menempelak Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan apabila Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengaitkan bencana kepala air di Gurun, Kedah baru-baru ini sebagai “takdir Allah”.

Takiyuddin ketika menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) berkata, kementerian itu dukacita dengan kejadian bencana yang berlaku di negeri itu.

“Masalah ‘nature’ ini jangan nak salah Tuhan. Kadang-kadang ia masalah manusia.

“Macam mana kamu tahu ‘act of God’ bila manusia itu rakus, merosakkan alam?” tanya Anwar di Dewan Rakyat hari ini, lapor FMT.

Takiyuddin kemudian menjelaskan ketika mengunjungi lokasi banjir, beliau mendapati pokok yang dihanyutkan air banjir masih mempunyai akar menggambarkan pokok dibawa air banjir lumpur itu bukanlah akibat kegiatan pembalakan.

“Ini adalah satu ‘act of God’. Satu takdir Allah,” kata menteri itu.

Tambah Takiyuddin, kementerian melalui Jabatan Perhutanan akan melakukan program pemuliharaan kawasan hutan tersorot termasuk di Jerai.

“(Sebanyak) RM25 juta telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk projek dan proses pemuliharaan ini,” tambah beliau.

Banjir besar melanda Gurun, Yan dan Merbok pada bulan Ogos berikutan hujan lebat pada kadar 278mm dalam jangka masa beberapa jam, terburuk dalam tempoh 70 tahun. Banjir itu menyaksikan hampir 1,000 keluarga terjejas dengan air lumpur mencapai ketinggian 1.5m.