Apa rundingan kerajaan dengan Jho Low? Sila dedahkan!

Apa rundingan kerajaan dengan Jho Low? Sila dedahkan!

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) mendedahkan butiran rundingan bersama wakil ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Naib Ketua Pemudanya, Muhamad Fadzil Ahamad berkata, ini kerana dakwaan wujud rundingan antara kedua-dua pihak itu menimbulkan kegusaran awam berhubung perjalanan kes jenayah melibatkan pihak paling dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak AGC sehingga hari ini masih gagal menyatakan secara rasmi berkait pertemuan tersebut yang didakwa turut melibatkan Peguam Negara sendiri.

“Sekiranya dakwaan tersebut adalah benar, mengapa ‘rundingan’ tersebut diadakan secara sulit, dan kenapa pihak Peguam Negara sendiri masih berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan?

“Pemuda Amanah memandang serius terhadap isu ini kerana ia berkepentingan awam dan membabitkan maruah negara di peringkat antarabangsa.

“Justeru, kami mendesak agar Peguam Negara segera menjelaskan butir rundingan yang didakwa berlaku dan membantah keras sebarang usaha penyelesaian luar mahkamah yang cuba dilakukan terhadap kes 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung skandal 1MDB.

Namun, AGC mengesahkan kerajaan menolak tawaran penyelesaian ahli perniagaan kontroversi itu.