Awet mayat bayi, gantung uri atas pokok! Ustazah ini dedah amalan khurafat umat Islam di Sabah

Awet mayat bayi, gantung uri atas pokok! Ustazah ini dedah amalan khurafat umat Islam di Sabah

Ketika umat Islam di Malaysia sibuk mempertikaikan kewujudan menara Firaun setinggi 15km, ramai yang tidak menyedari sebenarnya terdapat isu yang lebih serius melibatkan saudara mereka di pedalaman Sabah.

Kita juga sering tidak sedar bahawa sesungguhnya di kalangan umat Islam di negara kita ini sebenarnya masih ramai yang amat-amat memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari guru-guru agama dan alim ulama.

Maka sebab itulah kerja-kerja dakwah perlu sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa seperti yang ditegaskan oleh Dr Taufiq Razif dari TheProParenting di laman Facebooknya ini.

Menurut Dr Taufiq, beberapa amalan khurafat di kawasan pedalaman Sabah masih diamalkan dan dia sendiri turut menyaksikannya sendiri semasa membuat misi kemanusiaan dan dakwah di sana.

Pendedahan yang mengejutkan tersebut dibuat oleh Ustazah Marhamah Rosli yang diharapkan dapat menyedarkan lagi kita tentang betapa seriusnya pegangan adat masyarakat Islam di pedalaman Sabah yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Diharapkan Dr Taufiq dan Ustazah Marhamah dapat berkongsi lebih banyak kisah dakwah yang menarik selepas ini. Jom baca pengalaman menyeramkan mereka ini.

1 Awet Mayat Khurafat

Tahi!

Itu yang saya jawab bila disuruh teka apa yang ada di dalam plastik biru di atas pokok ni.

Tergelak habis Ustazah Marhamah Rosli dan team misi kemanusiaan dan dakwah di Sabah ni bila saya bagitahu jawapan tu. Yela, depa tak bagi saya pegang plastik tu.

Ada yang jawab baja, ada yang jawab buah. Aduh! Salah jugak!

Riak muka Ustazah tiba-tiba berubah. “Hmmm. Dr Taufiq nak tahu tak benda dalam plastik tu adalah TEMBUNI”

Dengan wajah penuh terkejut saya jerit “Serius ke penduduk sini gantung uri bayi di pokok?”

“Ya”

“Penduduk di kampung ni walaupun Muslim tapi pegangan adat mereka masih kuat”

Dengan wajah berkerut Ustazah bagitahu saya satu cerita yang sangat mengejutkan saya. Macam tak percaya pun ada tapi inilah yang terjadi bila tak ramai yang support dan sumbang dana untuk usaha dakwah dan pendidikan di pedalaman sini.

“Dr Taufiq, orang sini kalau bayi dia keguguran dia takkan tanam. Dia akan awet dan letak dalam bilik!”

Terjegil mata saya mendengar cerita Ustazah Marhamah Rosli. Ustazah sambung ceritanya lagi.

Ada satu kes tu sorang tu baru je keguguran anak. Dan dia nak masukkan anak tu dalam bilik. Tapi tiba-tiba dia bagitahu dia ada anak berusia 14 tahun padahal dia mana ada anak lagi.

Rupanya di dalam biliknya ada sorang lagi anaknya yang pernah keguguran 14 tahun lepas! Diawet dan disimpan di dalam biliknya selama 14 tahun lamanya!

Tuan puan semua.

Kisah ni seram tapi benar. Ini yang terjadi bila dana tidak mencukupi untuk sokong usaha dakwah pada orang yang sudah lama memeluk Islam di pedalaman Sabah ni.

Bayangkan semalam saya tanya Ustazah Marhamah berapa je gaji ustaz-ustaz yang uruskan dakwah orang di pedalaman sini. Ustazah bagitahu kadang-kadang bila tak ada dana beliau terpaksa bayar RM100 je sebulan pada ustaz tersebut. Ustaz tu pula terima je tanpa sedikit pun merungut. Sebaknya, Ya Allah.

Ini bukan masa untuk tuding jari. Ini adalah masanya untuk kita sama sama sedar tentang betapa pentingnya untuk sokong usaha untuk didik dan ajar orang-orang yang sudah lama peluk Islam di Sabah.

Mereka sangat perlukan kita. Serius.