Ayam golek naik dua kali ganda!

Ayam golek naik dua kali ganda!

Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) mengesan kenaikan harga makanan berasaskan ayam hampir dua kali ganda di bazar Ramadan di Kedah tahun ini.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pemantauan dijalankan pihaknya mendapati harga ayam percik dan ayam golek meningkat mendadak berbanding tahun lepas.

Katanya, juadah tersebut biasanya boleh diperolehi pengguna dengan harga sekitar RM9 hingga RM15 seekor sahaja sebelum ini.

“Bagaimanapun, kini harga makanan tersebut didapati mencecah hampir RM25 seekor. Cake mengesan kenaikan ini selepas menerima runggutan pengguna dan membuat pemantauan.

“Apabila ditanya, peniaga maklumkan kenaikan harga makanan di bazar Ramadan disebabkan peningkatan harga barang mentah dan kos pengangkutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, peniaga turut mendakwa mereka tiada pilihan hingga terpaksa menaikkan harga makanan di bazar Ramadan disebabkan terkesan dengan kenaikan kos lain.

“Kos buruh turut naik. Tahun lepas, pekerja boleh lagi dibayar sekitar RM15 hingga RM20 sehari namun kini upah RM30 sehari pun orang tidak mahu kerja.

“Peniaga beritahu perlu tanggung kos sewaan tapak yang turut meningkat hingga menyebabkan harga makanan di bazar Ramadan terpaksa dinaikkan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Yusrizal berkata, Cake belum menerima sebarang aduan tentang kenaikan harga makanan sebaliknya hanya mendengar rungutan pengguna sahaja.