Azalina kekal berpinsip untuk lawan geng ‘katak’

Azalina kekal berpinsip untuk lawan geng ‘katak’

 

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman akan menghantar semula notis Rang Undang-Undang Persendirian yang diubahsuai berhubung pemecatan Ahli Parlimen yang melompat parti kepada Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan pendapat dan cadangan pelbagai pihak bagi menambahbaik cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen 2021.

Untuk tujuan itu, beliau berkongsi kandungan serta perincian cadangan awal RUU tersebut yang telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 2 September lalu.

Azalina berkata notis cadangan usul RUU itu bagaimanapun tidak mendapat keutamaan untuk bacaan pertama.

“Saya harap perkongsian ini boleh membantu rakyat untuk sedar bahawa sebagai pengundi, mereka tetap mempunyai hak bersuara sekiranya wakil rakyat mereka lompat parti.

“Saya juga mengalu-alukan semua pihak untuk berkongsi pendapat atau cadangan tentang RUU ini bersama saya dalam ruang komen di bawah.

“Pendapat anda amat penting buat kami yang masih memperjuangkan hak pengundi dengan sekali lagi akan menghantar Rang Undang-Undang Persendirian yang diubahsuai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, menurut laporan Malaysiapost.

Azalina berkata RUU itu penting demi mempertahankan hak pengundi dan memberi hak bersuara kepada pengundi sekiranya Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka melompat parti.

“RUU ini akan memastikan politik yang berhemah di Malaysia,” katanya.