Azmin terus meratap merayu kepada Umno supaya kerjasama dengan PN
PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pemimpin serta akar umbi Umno masih mahu parti itu mewujudkan kerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata penolakan kerjasama dengan PN dalam PRN Melaka adalah pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Itu pandangan Presiden Umno, tetapi saya dapat maklumat daripada pemimpin dan akar umbi Umno yang mereka mahu diwujudkan satu kerjasama dengan PN.
“Tetapi ini adalah masalah dalaman Umno yang tidak perlu kami campur, Umno perlu buat keputusan muktamad mahu atau tidak bekerjasama.
“Biarlah rakyat menjadi hakim menentukan mana parti yang menolak perpaduan dan mana parti yang mahu kerjasama demi kestabilan negeri dan negara,” katanya di Melaka hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) atau Bersatu.
Katanya, apa jua pendirian dibuat Umno tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu sendiri sahaja sebaliknya, harus juga melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang sedang memimpin.