Baby Shima kata dia tak pernah tayang lurah seluar dalam, tapi kena maki hamun juga

Baby Shima kata dia tak pernah tayang lurah seluar dalam, tapi kena maki hamun juga

Dikatakan sering tampil dengan pakaian seksi, pelakon dan penyanyi dangdut Baby Shima seakan sudah lali menerima carutan dan makian daripada warganet.

Menurut pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, sesekali terdetik juga di dalam hati melihat selebriti lain yang pernah tampil dengan imej yang lebih mencolok mata namun mereka tidak pernah mendapat kecaman seteruk dirinya.

“Saya nampak ada orang pakai lebih seksi daripada saya. Siap tayang lurah, pinggul dan nampak seluar dalam. Tapi orang puji, siap cakap “slay”. Saya tak pernah tayang dan tunjuk itu semua, tapi semua makian saya dapat. Saya sabar.

“Saya sudah tidak kisah. Sebab apa yang saya buat semua orang akan kecam. Bila bagi makan kucing pun orang kecam. Sebagai artis, saya kena bersedia dengan kecaman. Namun mujurlah bila ada persembahan ramai yang datang,” katanya ketika ditemui Getaran di majlis sidang media filem Biko.

Lebih mengejutkan, pernah ada pihak yang mendoakan agar penyanyi itu cepat mati. Tidak mahu ambil pusing, pelantun lagu ‘Baby Sayang’ itu memilih untuk berdiam diri dan tidak membazirkan tenaga melayan semua kecaman yang hanya akan membuatkannya lebih tertekan.

Pelakon itu juga memuji tindakan ustaz yang menelefon untuk menegur perbuatannya dengan cara terhormat.

“Ada ustaz yang bertauliah terus telefon saya, menegur saya secara peribadi. Saya tiada masalah menerima teguran. Tapi yang tak seronoknya bila ada pihak yang tegur saya secara terbuka. Bila sebut nama saya secara terbuka begitu, semua makian dan hinaan saya akan dapat,” katanya.

Di sebalik kecaman yang diterima, perjalanan karier Shima turut berkembang. Melakonkan watak utama dalam filem terbaharu bertajuk Biko sebagai Sara, Shima berharap watak ibu yang dibawanya akan dapat memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

Dalam perkembangan lain, Shima baru sahaja selesai  menjalani penggambaran untuk video muzik lagu terbaharunya. Lagu bertajuk Bisa Bisanya Kamu itu merupakan hasil ciptaan Pasha Ungu yang dihasilkan khas untuk pasaran muzik Indonesia.