Bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh jumpa wakil Jho Low?

Bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh jumpa wakil Jho Low?

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan berhubung pertemuan antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.

Guan Eng berkata, Idrus patut menjelaskan mengapa AGC dan agensi kerajaan dibenarkan bertemu dengan wakil penjenayah yang dikehendaki itu.

“Tindakan Idris membenarkan AGC untuk bertemu wakil Jho Low adalah salah. Idrus harus menjelaskan mengapa AGC yang sepatutnya memburu Jho Low, sanggup berjumpa dengan wakil Jho Low itu.

“Bukankah Idrus sedang menghantar mesej salah yang penguatkuasa undang-undang tertinggi negara kini sedia berbincang dengan penjenayah yang dikehendaki dan bukannya menegakkan undang-undang tanpa takut dan pilih kasih?” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Pada masa sama Guan Eng menggesa bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan hubungannya dengan ahli perniagaan itu.

“Jelas sekali Jho Low terus mempunyai pengaruh dalam jabatan kerajaan sehingga dia dapat menghubungi mantan Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali untuk bertindak dan mengatur mesyuarat bersama AGC dan agensi-agensi kerajaan yang tidak diketahui bagi pihak Jho Low.

“Adakah Apandi Ali akan menjelaskan hubungan beliau dengan Jho Low dan adakah terdapat timbal balas dari hubungan tersebut?” soal Ahli Parlimen Bagan itu.

Kelmarin, sebuah portal melaporkan satu pertemuan antara peguamnya dengan AGC dan agensi kerajaan yang tidak dinamakan untuk melakukan rundingan penyelesaian sedang diatur.

Laporan menyebut Jho Low pernah menawarkan sebanyak RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun, AGC menolak semua tawaran penyelesaian yang dibuat oleh Jho Low.