Bahaya! Omicron mampu hidup di permukaan plastik selama 8 hari

Bahaya! Omicron mampu hidup di permukaan plastik selama 8 hari

Pakar di Thailand telah memberi amaran, varian Omicron boleh bertahan selama 8 hari di permukaan plastik berbanding varian asal.

Menerusi laporan Kosmo, amaran tersebut telah diberikan oleh Dr. Thiravat Hemachudha, Ketua Pusat Maklumat bagi Penyakit Berjangkit Baru Muncul di Universiti Chulalongkorn. Beliau mengatakan varian Omicron mampu bertahan empat kali lebih lama pada permukaan plastik.

20 kali lebih lama pada plastik berbanding kulit

Kajian yang dilakukan di Jepun itu telah menunjukkan virus Covid-19 mampu hidup 20 kali lebih lama pada permukaan plastik berbanding kulit.

Pada permukaan plastik, varian asal yang ditemui di Wuhan mampu stabil selama 56 jam, varian Gamma selama 59.3 jam, Delta dengan 114 jam, Beta selama 156 jam, Alpha dengan 191.3 jam dan Omicron selama 193.5 jam.

Daya ketahanan virus pada permukaan kulit manusia pula, varian asal kekal stabil selama 8.6 jam, Gamma (11 jam), Delta (16.8 jam), Beta (19.1 jam), Alpha (19.6 jam) dan Omicron (21.1 jam).

Walaupun Omicron tidak menyebabkan gejala teruk kepada pesakit, namun ianya sangat penting untuk seseorang itu membersihkan permukaan yang terdedah seperti meja, kerusi, tombol pintu rumah dan tempat kerja.

Bagi mengurangkan risiko dijangkiti, orang ramai juga perlu kerap basuh tangan menggunakan sabun dan juga sanitizer.