BAM bertindak kejam, Lee Zii Jia digantung 2 tahun
Beberapa hari lalu, peminat sukan badminton negara digemparkan dengan berita pengunduran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, pihaknya telah menerima surat peletakan jawatan pemain no 1 negara itu pada 11 Januari lalu.
“Dia tidak dapat menerima tekanan dan dia mahu mencapai impiannya sendiri mengikut rentaknya sendiri,” kata Norza.
Meskipun tidak menyatakan punca tepat dia meletakkan jawatan, Zii Jia bagaimanapun menegaskan wang bukanlah punca untuk dia bergerak sebagai pemain bebas.
Terbaharu tidak sampai beberapa hari, BAM difahamkan sudah mengambil keputusan ‘menggantung’ pemain ranking ke-7 dunia itu dengan tidak mendaftarkannya dalam mana-mana kejohanan bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari.
Menurut NST, perkara itu diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada petang jumaat, 21 Januari.
Jelas Jaharberdeen, keputusan itu diambil selepas badan induk itu melakukan pertimbangan yang panjang sewaktu mesyuarat Majlis BAM pada Isnin lalu.
Sebagai info, setiap pemain perlu mendapatkan kelulusan badan induk negara masing-masing bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF)
Terdahulu tindakan nekad Zii Jia bukan hanya mengejutkan peminat malahan bekas jaguh badminton negara seperti Rashid Sidek, dan Roslin Hashim.
Rashid kemudian menyarankan BAM agar mengambil tindakan tegas terhadap Zii Jia bagi mengelakkan ia menjadi ikutan pemain yang lain manakala Roslin berpendapat pemain no1 negara itu akan memperjudikan nasibnya apabila berada di luar.
TERKINI: Setelah melakukan perbincangan @BA_Malaysia, mengesahkan mereka mengambil keputusan untuk menggantung Lee Zii Jia 2 tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bermula 18 Januari 2022. #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/TX4Xpff5l4
— Team Malaysia (@TeamMsia) January 21, 2022
Zii Jia bagaimanapun ada bertemu dengan Datuk Lee Chong Wei bagi mendapatkan nasihat sebelum menghantar surat peletakan jawatan berkenaan.
Namun Chong Wei sewaktu pertemuan menasihatkan pemain berusia 23 tahun itu agar berbincang bersama BAM bagi mencapai titik pertemuan yang akan memenangkan kedua-dua pihak.
Malah menurutnya dia sepanjang 19 tahun bersama BAM sepanjang 19 tahun turut tidak terlepas dari masalah persefahaman, namun semuanya dapat ditangani menerusi perbincangan.